Pemerintah kolonial membangunkan
bandar-bandar moden di negara ini sebagai pusat kegiatan ekonomi.
Malahan, campur tangan pemerintah kolonial dalam politik kerajaan Melayu
adalah atas kepentingan ekonomi. Bandar-bandar yang dibangunkan oleh
pemerintah kolonial menumpukan perhatian kepada pembangunan ekonomi.
Pembangunan bandar-bandar itu, misalnya pembinaan kemduahan-kemudahan
asas ialah sebagai usaha pelaburan dalam membangunkan ekonomi.
Pusat-pusat pelabuhan yang dahulunya di bawah kawalan raja-raja Melayu
telah diambil alih oleh pemerintah kolonial dengan kepentingan kuasa
pemerintahan kolonial itu.
Pemerintah kolonial menggunakan ilmu
pengetahuan sebaiknya untuk membolehkan mereka menguasai orang Melayu
dari segi politiknya. Pegawai-pegawai Inggeris berusaha melakukan
penyelidikan tentang orang Melayu yang kemudian membolehkan mereka
memahami dan menguasai orang Melayu. Mereka menyedari bahawa dengan
menguasai ilmu pengetahuan tentang orang Melayu adalah paling berkesan
dalam mengembangkan pengaruh mereka kepada penduduk tempatan.
Kolonial British berusaha membangunkan
bandar-bandar moden sebagai pusat kegiatan ekonomi mereka di rantau ini.
Asas pembangunan bandar-bandar moden itu amat menekankan tentang
kepentingan ekonomi sehingga kepentingan orang Melayu tidak diberikan
perhatian sewajarnya. Kepentingan ekonomi itu selalu dilihat sebagai
matlamat utama yang mempengaruhi kegiatan British itu di negara ini.
Seterusnya, mereka berusaha mengawal pembangunan bandar-bandar moden itu
secara langsung. Raja-raja Melayu yang semakin berkurang kuasa mereka
tidak dapat memainkan peranan dalam mempengaruhi pembangunan
bandar-bandar moden itu. Untuk meningkatkan pembangunan bandar-bandar
moden itu, kemasukan kumpulan-kumpulan ethnik Cina dan India kemudian
memainkan peranan penting. Sedangkan orang-orang Melayu dominan dalam
sektor tani di luar bandar.
Secara umumnya, bandar-bandar moden itu
menyatakan sifat kosmopolitannya. Dalam keadaan ini pemerintah kolonial
British kurang memberikan tumpuan dalam menentukan pembangunan budaya
bandaran bersesuaian dengan penduduk bandar yang sedang pesat membangun
itu. Malahan, pengawasan utama dalam pembangunan bandar-bandar itu ialah
dari segi keselamtan politiknya. Dalam keadaan ini pembangunan
bandar-bandar moden itu berbeza daripada pusat-pusat pelabuhan yang
dibangunkan oleh kerajaan Melayu dahulu. Budaya bandaran yang
dibangunkan oleh pemerintah kolonial itu tidak menyatakan identiti
Melayu sebagai penduduk utama di negara ini.
Dalam usaha membina penyatuan
berbagai-bagai kumpulan ethnik di bandar, pemerintah kolonial, berusaha
membina budaya kolonial. Memupuk nilai-nilai baru, iaitu membina konsep
moden yang merujuk kepada tamadun barat didapati sangat berkesan dalam
mempengaruhi budaya penduduk tempatan. Gaya hidup barat menjadi impian
penduduk tempatan. Melalui pemupukan nilai-nilai ini, pemerintahan
kolonial berjaya menyalurkan konsep kemodenan melalui budaya barat itu
kepada penduduk negara ini yang terdiri daripada berbagai-bagai kumpulan
ethnik. Penyaluran unsur-unsur budaya yang dianggap moden itu sangat
berkesan di kalangan penduduk bandar yang terdiri daripada
berbagai-bagai kumpulan ethnik.
Budaya kolonial didapati mudah
mempengaruhi dalam pembangunan bandar-bandar moden di negara ini. Selain
itu, melalui pendidikan moden yang berkembang pesat di bandar-bandar,
khususnya sekolah-sekolah Inggeris, nilai-nilai sosial memandang tinggi
terhadap kemajuan barat dapat dipupuk dan disalurkan dengan berkesan.
Malahan golongan elit Melayu yang dilahirkan melalui pendidikan Inggeris
sangat terpengaruh dengan kemodenan dan kemajuan barat. Pemikiran
mereka juga menyatakan kesan-kesan kekuatan pengaruh barat itu.
Barat dianggap sebagai model kemajuan dan
kemodenan, terutama dalam bidang pendidikan dan kemajuan sains dan
teknologi. Dengan teknologi moden yang dibawa oleh pemerintah kolonial
ke negara ini memperkukuhkan lagi keyakinan penduduk tempatan terhadap
kemajuan yang dicapai oleh barat itu. Namun, kesan kemodenan dan
kemajuan itu meliputi juga bidang budaya atau gaya hidup. Budaya barat,
serta gaya hidup orang-orang barat itu lebih mudah mempengaruhi
kehidupan penduduk tempatan. Kemodenan dan kemajuan barat cuba
dinyatakan melalui perlakuan dan tindakan penduduk bandar yang sedang
pesat membangun itu.
Pembangunan bandar-bandar moden selalu
diperkatakan kurang melibatkan orang-orang Melayu. Peluang terbuka luas
kepada orang-orang bukan Melayu untuk turut melibatkan diri dengan
pembangunan bandar-bandar moden oleh pemerintah kolonial itu. Orang
Melayu, terutama rakyat jelata adalah dominan di luar bandar dan
terlibat dalam kegiatan ekonomi tani secara kecil-kecilan sebagaimana
mereka warisi sejak zaman berzaman. Mereka kurang berminar dengan
pembangunan bandar-bandar moden. Malahan, mereka sudah merasakan berpuas
hati dengan ekonomi secukup hidup itu.
Orang Melayu yang tinggal di
bandar-bandar moden itu kecil bilangannya berbanding dengan
kumpulan-kumpulan ethnik yang mendatang. Golongan elit, bangsawan
tradisional yang terlibat dalam kegiatan ekonomi maritim di pusat-pusat
pelabuhan tradisi tidak lagi aktif dalam bidang perdagangan apabila
kedatangan pemerintah kolonial. Mereka ini diberi elaun oleh pentadbiran
British. Anak-anak golongan elit itu pula dididik melalui pendidikan
moden Inggeris. Mereka itu kemudian memegang jawatan-jawatan tertentu
dalam jentera pentadbiran British sebagai pegawai kerajaan. Mereka ini
mempunyai pemikiran yang dipengaruhi dengan ideologi pemerintah
kolonial. Mereka memuji dan memandang tinggi barat. Malahan, gaya hidup
mereka adalah sangat terpengaruh dan mudah meniru gaya hidup orang-orang
barat. Kemodenan itu tertumpu terhadap kemajuan yang ditunjukkan oleh
orang-orang barat.
Pembangunan bandar-bandar moden itu
membina budaya baru yang bersesuaian dengan perkembangan penduduk yang
berbilang kumpulan ethnik. Bandar-bandar moden itu sebagai pusat
kegiatan ekonomi, juga merupakan pusat perubahan budaya. Tradisi budaya
Melayu tidak dapat dipupuk dan dipertahankan di bandar-bandar moden itu.
Pemerintah kolonial berusaha menyalurkan nilai-nilai barat, terutama
budaya barat itu dianggap moden dan maju. Budaya barat yang mudah
mempengaruhi penduduk bandar itu merupakan faktor penting dalam membina
integrasi berbagai-bagai kumpulan ethnik. Masing-masing dapat menerima
budaya barat sebagai moden dan maju bersesuaian dengan perkembangan
semasa.
Kedudukan bandar-bandar moden itu
terletak di luar kawalan raja-raja Melayu. Perkembangan budaya di
bandar-bandar moden itu kurang menekankan kepentingan tradisi budaya
Melayu dan Islam. Pemerintah kolonial mempunyai ukuran mereka tersendiri
dalam menentukan perkembangan bandar-bandar moden itu. Dalam keadaan
ini, perkembangan ekonomi kapitalis itu juga mempengaruhi perkembangan
budaya bandaran itu.
Di bandar-bandar itu juga pesatnya
berkembang kegitan yang dianggap bercanggah dan tidak bersesuaian dengan
nilai-nilai Islam dan tradisi budaya Melayu. Misalnya pergaulan bebas
antara lelaki dan perempuan, pelacuran, perjudian dan minuman keras
serta menghisap candu. Melalui penghasilan kesusasteraan Melayu waktu
itu, gambaran tentang bandar-bandar moden itu adalah sebagai pusat
kegiatan maksiat. Bandar sebagai pusat pembangunan budaya moden selalu
dikaitkan dengan maksiat dan adalah tidak sesuai dengan orang-orang
Melayu. Melalui pernyataan hasil sastera Melayu, bandar-bandar moden itu
dilihat sebagai pusat perkembangan budaya semata-mata. Bandar tidak
pernah dilihat sebagai pusat pembangunan ekonomi.
Orang Melayu selalu melihat bandar itu
berbeza sekali dengan kampung. Perbezaan itu selalu dinilai dari segi
sosio-budaya. Misalnya, bandar sebagai pusat maksiat sedangkan kampung
menyatakan kemurnian, kesucian dan harmoni. Oleh itu hidup di kampung
lebih “selamat”, tenang dan menyatakan kekuatan amalan keagamaan.
Kesempurnaan hidup itu hanyalah di kampung. Sedangkan hidup di bandar
itu dianggap sentiasa terdedah kepada maksiat yang boleh membawa
kekacauan, “kotor” dan merenggangkan seseorang itu dengan ikatan
keagamaan. Nilai-nilai yang dibina dan dipupuk demikian kurang
mendorongkan orang Melayu untuk berpindah ke bandar. Mereka lebih selesa
dan senang hidup di kampung walaupun mereka menghadapi tekanan ekonomi.
Di kampung mereka dapat meneruskan amalan tradisi, sedangkan tidak lagi
terdapat di bandar. Gaya hidup orang bandar berbeza sama sekali dengan
gaya hidup orang kampung. Kehidupan di kampung berusaha mempertahankan
tradisi, sedangkan gaya hidup orang bandar lebih banyak meniru gaya
hidup orang-orang barat. Gambaran kehidupan di kampung dan di bandar
yang berbeza itu mempengaruhi nilai dan world-view orang Melayu umumnya.
Dalam kehidupan orang Melayu di bandar
yang sangat menekankan tentang gaya hidup moden dan maju berlandaskan
gaya hidup orang-orang barat didapati amat mempengaruhi nilai dan
world-view mereka. Bagi menyesuaiakan dengan nilai-nilai yang dianggap
moden dan maju itu, didapati adakala orang Melayu kurang menimbangkan
tentang nilai-nilai Islam dan tradisi budaya Melayu. Mereka sanggup
menerima dan meniru perlakuan yang dianggap moden dan maju itu walaupun
bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Perkembangan pendidikan sekular,
terutama sekolah-sekolah Inggeris memperkukuhkan lagi dalam memberikan
anggapan kemajuan dan kemodenan itu berasaskan tamadun barat.
Orang-orang bandar berusaha meniru budaya barat sebagai perkembangan
budaya bandar.
Budaya bandaran menyatakan perubahan yang
dilalui penduduknya. Perkembangan budaya bandaran sangat membimbangkan
orang-orang Melayu. Kesannya bukan sahaja boleh melemahkan tradisi
budaya Melayu, tetapi boleh mempengaruhi orang-orang muda yang mudah
terikut-ikut dengan unsur-unsur budaya yang tidak bersesuaian dengan
nilai-nilai Islam dan tradisi budaya Melayu. Kebimbangan mereka itu
disuarakan dalam akhbar-akhbar tempatan, tentang berbagai-bagai isu yang
dianggap boleh membawa kesan-kesan buruk kepada orang-orang Melayu.
Antara kebimbangan yang disuarakan itu termasuklah persoalan pakaian dan
perhiasan diri yang terpengaruh dengan budaya barat tanpa menimbangkan
tradisi budaya Melayu. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa
batasan boleh membawa kesan-kesan sosial yang sangat membimbangkan.
Tempat-tempat hiburan yang menjadi pusat kegiatan maksiat semakin
bertambah di bandar-bandar dan perkara ini juga menjadi kebimbangan
kepada orang-orang Melayu.
Melihat kepada pertumbuhan budaya
bandaran yang semakin mempengaruhi orang-orang Melayu itu sehingga
kurang mengambil perhatian tentang tradisi budaya Melayu dan Islam
merupakan sebahagian daripada kesedaran yang berkaitan dengan semangat
kebangsaan orang Melayu. Orang Melayu merasa bimbang tentang kedudukan
budaya Melayu dan Islam yang semakin diketepikan oleh pemerintah
kolonial. Pembangunan bandar-bandar moden tidak memberikan perhatian
kepada budaya Melayu dan Islam. Perkembangan seperti ini membawa kesan
yang kurang baik kepada orang-orang Melayu. Kedudukan Melayu di negara
ini dirasakan semakin kurang diberikan perhatian oleh pemerintah
kolonial.
Dalam perkembangan bandar-bandar moden
itu, sebagai pusat kegiatan ekonomi dan pemerintahan kolonial,
meletakkan kedudukan orang Melayu hanya di peringkat kampung yang
terlibat dengan kegiatan tani. Suasana ini seterusnya membina image
Melayu dan identiti Melayu itu hanya dengan kampung dan budaya tradisi.
Mereka tidak terlibat dengan pembangunan dan kemodenan. Seterusnya usaha
membangunkan orang-orang Melayu tidak pernah mendapat perhatian
pemerintah kolonial. Pemerintah kolonial ingin membina masyarakat negara
ini berasaskan kumpulan-kumpulan ethnik yang terpisah antara satu
kelompok dengan satu kelompok yang lain.
Dalam keadaan yang terbatas itu, orang
Melayu tidak mempunyai peluang untuk turut terlibat dalam pembangunan
bandar-bandar moden yang seterusnya dapat memberi peluang mereka
memperbaiki diri dalam berbagai-bagai bidang lain, seperti pendidikan,
ekonomi dan sebagainya. Mereka dipupuk dengan nilai-nilai tradisi,
mempertahankan tradisi tanpa mengambil perhatian tentang pembangunan
negara dan perubahan yang dilalui masyarakat-masyarakat lain di
bandar-bandar moden yang dibangunkan oleh pemerintah kolonial. Berikutan
dengan ini orang-orang Melayu menyedari kedudukan mereka yang lemah
dalam berbagai-bagai bidang berbanding dengan kumpulan-kumpulan ethnik
lain. Kesedaran ini dianggap penting dalam mempengaruhi orang Melayu
dalam menghadapi pembangunan dan kemodenan kemudian.
Memahami kelemahan yang dihadapi orang
Melayu, dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan negara, mereka
mempunyai harapan dan hasrat yang tinggi untuk meningkatkan kedudukan
Melayu dalam negara yang merdeka. Bagi mengisi kemerdekaan, orang Melayu
memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan
bahasa rasmi negra ini. Dalam bidang pembangunan ekonomi pula, kerajaan
menumpukan usaha untuk memperbaiki kedudukan orang-orang Melayu di
kawasan luar bandar. Berikutan dengan orang Melayu dominan dalam sektor
tani, tumpuan pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan itu juga ialah
untuk meningkatkan kegiatan tani di kalangan orang Melayu.
Berbagai-bagai kemudahan asas disediakan. Walau bagaimanapun pembangunan
pendidikan adalah dianggap penting bagi membawa orang-orang Melayu
mengalami perubahan. Dalam rancangan pembangunan itu, kesan penting
ialah perubahan nilai dan pemikiran orang Melayu itu sendiri. Mereka
menghadapi tekanan persaingan yang semakin ketara, terutama dalam mereka
menghadapi proses urbanisasi dan modenisasi. Melalui nilai-nilai baru
yang dipupuk dapat membawakan mereka kepada suasana perubahan yang
jelas.
Kesan pemerintahan kolonial dalam
pembangunan bandar-bandar moden adalah berpanjangan dan tidak mudah
untuk dirancang bersesuaian dengan hasrat dan harapan orang-orang
Melayu. Budaya bandaran yang telah sekian lama dibina mempunyai
sifat-sifatnya tersendiri yang berbeza daripada tradisi budaya Melayu
yang terdapat di kampung-kampung. Penduduk tempatan terus memandang
tinggi dan menghormati segala unsur budaya yang dibawa dari
negara-negara maju. Nilai-nilai yang dipupuk semasa pemerintahan
kolonial itu terus memainkan peranan penting dalam menentukan
perkembangan budaya tempatan. Bandar-bandar moden yang berperanan
sebagai pusat perubahan budaya, sentiasa melakukan perubahan dan
penyesuaian mengikuti perkembangan dan perubahan yang berlaku di
pusat-pusat kemajuan dan pembangunan kemodenan. Proses peniruan dan
penyesuaian budaya barat dengan keperluan penduduk tempatan terus
berlaku. Generasi muda yang berusaha menentukan jatidiri mereka,
terdedah dengan kemajuan dan kemodenan yang didatangkan dari barat
selalunya amat peka dengan perubahan yang berlaku itu. Golongan ini juga
yang mudah meniru dan terpengaruh dengan perkembangan budaya yang
dibawa dari negara-negara maju itu.
Barat sebagai negara maju merupakan pusat
perkembangan industri budaya. Unsur-unsur budaya telah berubah menjadi
bahan-bahan budaya yang dikeluarkan oleh industri budaya secara
besar-besaran, misalnya dalam bidang hiburan, seperti muzik dan filem.
Industri budaya mereka dapat berkembang dengan baik kerana pasarannya
yang luas. Bahan-bahan budaya yang dikeluarkan di pusat-pusat bandar di
barat itu dapat tersebar luas. Malahan negara-negara yang sedang
membangun juga merupakan pasaran bahan-bahan budaya barat. Nilai-nilai
yang memandang tinggi kemodenan dan kemajuan yang dilihat dalam konteks
budaya, yang dipupuk sejak zaman kolonial dahulu tetap mempengaruhi
penduduk tempatan. Bahan-bahan budaya barat itu dipandang tinggi dan
dihormati. Perkembangan budaya popular yang menjadi tumpuan industri
budaya di barat itu merupakan model atau contoh yang penting kepada
perkembangan industri budaya tempatan. Perkembangan budaya popular
tempatan berlandaskan ciri-ciri sebagaimana budaya popular barat.
Budaya popular Melayu yang ikut
berkembang pesat, terutama apabila terdapat kemudahan teknologi yang
turut membantu meningkatkan penyebaran budaya popular itu. Bandar
merupakan pusat perkembangan budaya popular Melayu. Sedangkan budaya
popular itu membawa nilai-nilai kemodenan yang berasaskan kepada budaya
bandaran. Penyebaran budaya popular itu amat meluas. Dalam keadaan ini
penyebaran budaya popular itu turut memainkan peranan penting dalam
membawa proses urbanisasi dan modenisasi itu secara meluas.
Kini, dengan pesatnya pembangunan di
peringkat luar bandar, hubungan luar bandar dengan bandar semakin dekat,
dan penyebaran teknologi moden yang semakin meningkat, maka kampung
juga mengalami proses urbanisasi dan modenisasi. Jika dahulu kampung
memainkan peranan penting dalam mempertahankan tradisi budaya Melayu,
maka kini kampung tidak lagi mampu untuk memainkan peranan dalam
mempertahankan tradisi sebagaimana masa lalu. Dalam keadaan perubahan
dan pembangunan yang pesat, sedikit demi sedikit tradisi budaya Melayu
di peringkat kampung mengalami penyesuaian dengan keperluan semasa.
Di peringkat yang lebih luas, dengan
meningkatnya kemajuan teknologi moden, sistem perhubungan semakin
meningkat maju. Dalam keadaan ini dikatakan proses globalisasi memainkan
peranan penting. Dunia menjadi semakin kecil. Dalam perkembangan
ekonomi dan budaya menyatakan tiada batasan yang dapat menghalang antara
satu negara dengan satu negara yang lain, dalam mempengaruhi
perkembangan ekonomi negara. Proses globalisasi yang semakin ketara kini
menjadikan dunia semakin sempit. Tetapi dalam proses globalisasi ini
negara-negara maju tetap memainkan peranan penting, terutama dalam
penguasaan eknomi. Negara-negara maju, khususnya barat menguasai
ekonomi, dan barat juga sebagai pusat industri budaya moden dan maju
memainkan peranan penting dalam mempengaruhi negara-negara lain yang
sedang membangun. Sebagaimana anggapan antara negara pusat dan negara
pinggir, negara-negara maju menguasai ekonomi dan seterusnya dapat
mempengaruhi negara-negara sedang membangun. Dalam proses globalisasi
itu umumnya peranan negara-negara maju terus dapat mengekalkan
kedudukan, dan negara-negara yang sedang membangun sebagai pinggiran
negara-negara maju itu.
Perkembangan budaya bandaran semasa
pemerintahan kolonial sebagai asas perubahan dalam tradisi budaya di
negara ini, terus menyatakan perubahan yang dilalui kemudian.
Orang-orang Melayu merasai bimbang dengan kadar perkembangan budaya
barat yang amat pesat mempengaruhi kehidupan mereka. Kesan-kesan
perubahan dan perkembangan yang berlaku di bandar-bandar itu juga
membawa penyebarannya ke luar bandar. Perkembangan budaya bandaran yang
tidak mempunyai batasan dan mempengaruhi kehidupan orang-orang Melayu
secara meluas, dengan kadar perubahan yang dilalui itu boleh
menghilangkan identiti dan kepentingan orang Melayu. Sebagaimana yang
telah dinyatakan dahulu, kebimbangan orang Melayu itu juga yang
memperkukuhkan lagi semangat kebangsaan Melayu. Mereka menyuarakan
kebimbangan mereka melalui akhbar-akhbar tempatan. Mereka juga berusaha
menentang unsur-unsur budaya yang bercanggah dan bertentangan dengan
kehendak-kehendak Islam. Melalui penyebaran suara tentangan itu turut
mempengaruhi orang ramai dalam mengawal dan mengurangkan pengaruh budaya
yang dianggap keterlaluan. Orang Melayu, terutama golongan dewasa
berusaha mengawal dan mengenakan tekanan sosial terhadap unsur-unsur
budaya yang dianggap keterlaluan dan tidak sesuai dengan suasana
tempatan.
Pesatnya pembangunan negara dalam
berbagai-bagai bidang dan meluasnya proses globalisasi ekonomi dan
budaya, maka dengan itu budaya Melayu turut mengalami perubahan dan
penyesuaian sewajarnya. Dengan itu menyatakan bahawa budaya Melayu itu
semakin dinamiks selaras dengan kemajuan yang dilalui anggota-anggota
masyarakat. Dalam proses globalisasi budaya itu, didapati
masyarakat-masyarakat tempatan menyedari pentingnya lambang jati diri,
khususnya dari segi tradisi budaya masing-masing. Masyarakat Melayu juga
menyedari tentang pentingnya mempertahankan tradisi budaya yang mereka
warisi sekian lama agar tidak lenyap atau dilupai begitu sahaja dalam
arus pesatnya proses globalisasi itu.
Masyarakat Melayu mempunyai kekuatannya
dalam mempertahankan tradisi budaya mereka apabila mereka meletakkan
Islam sebagai teras budaya itu. Tradisi budaya yang mereka pertahankan
selama ini adalah selaras dengan kehendak dan kepentingan Islam itu.
Orang Melayu itu Islam, yang mereka memahami kepentingan mempertahankan
tradisi budaya yang berasaskan kepda Islam. Nilai-nilai sosial yang
berteraskan kepada Islam memainkan peranan penting bagi orang Melayu
mempertahankan jati diri.
Walau bagaimanapun, terdapat pula
berbagai-bagai perkara yang berupa warisan tradisi, tetapi dianggap
tidak sesuai dengan keadaan semasa. Dalam keadaan itu, mereka tidak lagi
bersusah payah mempertahankannya, kecuali atas kepentingan Islam,
misalnya untuk mengawal mutu budaya Melayu itu. Dalam realiti didapati
kesan pengaruh budaya yang dibawa dari proses globalisasi itu amat
pesat, terutama yang mempengaruhi golongan muda. Tetapi golongan muda
itu apabila mereka meningkat dewasa, maka mereka dengan sendirinya lebih
matang dan kuat dipengaruhi budaya dominan. Mereka turut berusaha untuk
mempertahankan dan meningkatkan tradisi budaya sendiri. Namun budaya
Melayu itu terus mengalami perubahan, dinamiks menyesuaikan dengan
perkembangan semasa.
Rujukan
Gullick, J.M. 1987, Malay society in the late 19th century, the beginning of change, Singapore: Oxford University Press.
Mohd. Taib Osman, 1984, Bunga Rampai : Aspects of Malay Culture, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tham Seong Chee, 1977, Malays and Modernization, Singapore University Press.
Yahaya Ibrahim, 1995, Perbandaran dan Kejiranan, Dewan Bahasa dan Pustaka.