Monday, 10 September 2012

Agenda halus barat

Betapa ramai manusia yang ber'iman' Neil Amstrong telah menjejakkan kakinya ke bulan pada 1969. Dengan kisah tersebut juga banyak manusia menghinakan manusia lain;

“Orang telah ke bulan sedang kamu masih di sini”. Walhal apakah benar ‘keimanan’ kita itu? Sahkah Roket Apollo 11 Saturn V berjaya mendarat ke bulan? Renung sejenak; saban tahun banyak roket terbang menerjah angkasa menuju Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) termasuk angkasawan kita, Dr Sheikh Muszaphar.

Tetapi kenapa hanya Neil Amstrong sahaja yang mampu ke bulan? Bukankah teknologi makin berkembang maju, segala alatan makin canggih? Namun apakah bererti
alatan lapuk sahaja yang mampu untuk membawa manusia ke bulan? Sungguh ini luar akal logik.

Kita sedar bahawa kisah manusia ke bulan terjadi saat ‘Perang Dingin’ antara Amerika Syarikat dan Blok Komunis Rusia. Ketika ini apa sahaja yang dilakukan Amerika pasti diikut oleh Rusia.

Begitu juga apa sahaja alatan yang dicipta Rusia pasti Amerika juga akan memilikinya. Lantas saat Amerika menceritakan kejayaannya meneroka bulan, Rusia sehingga kini tidak berusaha untuk menurut jejak seterunya,

Tetapi manusia percaya kisah Fals Flag ciptaan Amerika selama berdekad-dekad, dan kita percaya kisah khurafat ini akan terus di’imani’ sebilangan besar umat Islam pada dekad yang mendatang.

Terdapat beberapa pendedahan pembohongan kisah manusia ke bulan tetapi siapakah antara kita yang mampu mengambil iktibar dari pendedahan ini? Lihatlah betapa banyak golongan yang digelar ulama dan ustaz percaya kisah dusta Amerika ini.

Muhammad Abduh

Kita juga percaya bahawa revolusi pemikiran moden dibawa masuk dalam minda umat Islam melalui dua tokoh agung: Muhammad Abduh dan Jamaladdin Al-Afghani.

Kita sangat menyanjung mereka berdua, kita kalungkan segunung pujian dan kita berikan sebuah kerusi agung kepada mereka – mujaddid! Mujaddid; gelar untuk ulama yang melakukan proses penjernihan (tajdid) aqidah dan manhaj terhadap ajaran Islam yang telah tersalut dengan bid’ah.

Namun sedarkah kita bahawa terdapat bukti kukuh yang menunjukkan Jamaluddin adalah tokoh kumpulan Iluminati yang menentang Islam. Abdul Lathief Ghazal dalam bukunya Da’wah Jamaluddin Al Afghani fi Mizanil Islam menunjukkan bukti bahawa Jamaluddin memperjuangkan pemikiran liberalisme, westernisasi dan pluralisme.

Oleh itu ketika Muhammad Abduh, murid kesayangan Jamaluddin menjadi Mufti Mesir ketika zaman pemerintahan Gabenor British, Lord Cromer (seorang Yahudi), beliau menggerakkan gelombang modernisme di Mesir.

Modernisme tersebut bukanlah proses tajdid sebaliknya adalah gerakan mendahulukan aqal daripada naqal.

Maknanya adalah gerakan falsafah emansipasi (pembebasan) pemikiran dari ikatan wahyu secara halus. Dia mengubah kurikulum Al-Azhar dan mewujudkan sebuah pusat yang dinamakan sebagai Darr At Taqrib – Pusat Penggabungan antara Sunni dan Syiah Rafidhah yang kafir! Kemudian para penuntut Al-Azhar diajar dengan Tafsir Al-
Manar. Tafsir ini dipenuhi dengan pemikiran Abduh!

Syeikh Rashid Redha berkata setelah beliau kembali kepada Mazhab Salaf: “Bahawasanya setelah aku bebas sepeninggal beliau (Muhammad Abduh), aku
menyelisihkan manhajnya dengan memperluas pembacaan terhadap hadis sahih apa-apa yang ada kaitannya dengan suatu ayat baik dalam pentafsirannya atau pengambilan hukum darinya.” (Tafsir al-Manar I/16 Muqoddimah). Ini kerana Muhammad Abduh melarang muridnya membaca kitab aqidah dan manhaj Ahlus Sunnah dan Ahlul Hadis.

Tiga racun berbisa

Melalui Muhammad Abduh, seluruh dunia Islam seolah-olah terjaga daripada lena yang panjang.

Mereka bangun lantas menyambut huluran tangan modernisme yang dilaungkan beliau. Tanpa sedar umat Islam mula menelan falsafah emansipasi yang dalamnya terkandung tiga racun yang berbisa iaitu: westernisme, liberalisme dan pluralisme.

Westernisme atau Western Centric adalah fahaman yang mengagungkan kebudayaan barat.

Sama ada kebudayaan kebendaan atau kebudayaan bukan kebendaan.

Orang yang terkena racun ini akan menganggap segala perkara yang muncul dari Barat adalah# sesuatu yang maju dan moden.

Segalanya adalah baik dan patut dicontohi. Natijahnya melahirkan manusia yang terjajah akalnya, yang disebut sebagai kolonialisasi minda.

Barat mengerti bahawa mereka tidak akan selamanya menjadi tuan kepada Islam.

Satu hari nanti umat Islam akan bangun dan menentang mereka dan merebut kemerdekaan. Jika tidak mampu menjajah secara fizikal maka mereka perlu menjajah dari segi pemikiran dan kebudayaan.

Caranya adalah menyusupkan tiga racun berbisa ini melalui "Gerakan Modernisme" yang diterajui anak didik mereka – Muhammad Abduh!

Lord Cromer yang mentadbir Mesir memberi ruang kepada Muhammad Abduh untuk berdakwah ke seluruh dunia. Malah Lord Cromer juga menegaskan untuk menjaga kepentingan Gerakan Modenisme tersebut: “Murid-murid madrasahnya adalah layak untuk diberi segala bantuan.

Mereka menjaga kepentingan British”. Banyak ulama daripada pelbagai aliran telah bangun menentang Muhammad Abduh tetapi British tetap mempertahankan dia dengan berkata: “As Syeikh Muhammad Abduh akan terus menjadi Mufti Besar Mesir selagi mana British berkuasa di Mesir”.

Melalui laluan yang disediakan British termasuklah pengaruh British terhadap Al Azhar menyebabkan tiga racun ini merebak ke seluruh tanah jajahan British. Muhammad Abduh sempat berkata kepada gurunya – Jamaluddin – tentang kejayaan mereka: “Dalam masa 10 tahun sahaja kita sudah mempunyai sekalian banyak pelajar yang mengikuti kita dan menyebarkannya di seluruh pelosok dunia”.

Fahaman pluralisme

Dari saat ini, lahirnya gerakan pembebasan umat Islam. Al Kawakibi yang bersahabat baik dengan Abduh menggerakkan semangat nasionalisme Arab. Di Indonesia terciptanya kumpulan Muhammadiyah.

Uthman dan Fibio menggerakkan pembebasan di Sudan. Sedangkan di Mesir sendiri lahirnya jemaah Ikhwanul Muslimin (IM) di tangan Hasan Al-Banna, seorang yang mengikut aliran Sufi Hasafiyah yang suka bertawaf di kuburan.

IM telah menghadamkan pemikiran Abduh malah ia tercipta atas semangat pembaharuan ini. Oleh itu Hasan Al-Banna sangat menyokong faham pluralisme yang diserukan Abduh. Hassan Al-Banna berkata usaha IM dalam berpegang teguh kepada pluralisme: “Dan akan dikumpulkan (disatukan) segala jenis pemikiran, baik yang terdahulu atau yang terkini” (Muzakkirat ad-Dakwah wa Daiyah. Hlm. 353).

Usaha Hassal Al-Banna ini diakui Umar Tilmisani, beliau berkata: “Dan dia (Hasan Al-Banna) menyampaikan keinginannya untuk menyatukan kaum Muslimin yang mana dia melontarkan keinginannya di Muktamar Menyatukan Firqah Islam (dengan firqah yang bukan Islam)” (al-Mulham al-Mauhub Hasan al-Banna. Hlm. 78)

Hasan Al-Banna pernah berkata: “Untuk itu kami tetapkan bahawa permusuhan kami dengan Yahudi bukanlah permusuhan agama. Kerana al-Quran menganjurkan untuk bergabung dengan mereka. Dan Islam adalah syariat kemanusiaan sebelum menjadi syariat kaum tertentu.

Islam pun memuji mereka dan menjadikan antara kita dengan mereka keterkaitan yang kuat.” (Al-Ikhwanul Muslimun Ahdatsun Shana’at Tarikh I/409- 410. Lihat Al-Quthbiyyah Hiyal Fitnah Fa’rifuha hal. 59)

Mustafa As-Siba’is sebagai tokoh IM berkata: “Islam bukanlah agama yg memerangi agama Nasrani bahkan mengakui dan memuliakan agama Nasrani.

Islam tidak membezakan antara Muslim dan Nasrani. Islam tidak memberikan hak lebih terhadap Muslim atas hak Nasrani dalam kedudukan dalam pemerintahan..."
Benarlah apa yang diungkapkan Al Asmawy: “Hasan al-Banna telah menyatukan pemikiran Syaid Jamaluddin al Afghani dengan jalan pemikiran Muhammad Abduh”. (Majalah ad Dakwah. No 21. Rabiulawal 1398H. Hlm. 23)

Inilah wacana Barat ke atas umat Islam; menjajah umat Islam dari segi pemikiran dan merosakkan aqidah Islam dengan faham pluralisme dan liberalisme. Projek Apollo 11 Saturn V dan Ikhwanul Muslimin, apa kaitannya? Fikirkanlah.

* Penulis ialah pengkaji Perbandingan Mazhab, Falsafah & Agama / Mitologi

No comments:

Post a Comment